Tingkah laku Malas_(burung)

Malas biasa disamarkan pada tunggul kayu

Malas adalah sangat nokturnal dan biasanya tidak terbang pada siang hari. Ia menghabiskan hari dengan bertenggek di atas dahan dengan mata separuh tertutup. Dengan buluan samarnya, ia menyerupai tunggul kayu, dan sekiranya ia mengesan bakal kebahayaan, ia akan "membekukan" diri untuk menyerupai dahan yang patah.[14][15] Peralihan antara bertenggek dan kedudukan kaku adalah beransur-ansur dan hampir tidak dapat dilihat oleh pemerhati.

Ahli zoologi Inggeris Hugh Cott, memerihalkan Nyctibius griseus sebagai "burung yang indah", menulis bahawa ia "biasanya memilih bahagian atas tunggul kayu tegak sebagai bekas untuk telurnya, yang biasanya menempati lubang kecil, dan cukup-cukup besar untuk mengandunginya ... tunggul yang dipilih mempunyai tangkai utama baharu tepat di bawah titik patah ... dan burung-burung tersebut duduk menghadap batang tunggul sedemikian rupa sehingga apabila dilihat dari belakangnya, ia kelihatan sebaris dan bercampur dengan batang kelabu tersebut."[16]

Makanan dan pemakanan

Malas memakan serangga terbang pada waktu senja dan pada waktu malam.[6] Teknik mencari makan biasanya adalah dengan menghinggap di atas dahan dan kadang-kadang terbang keluar seperti sambar untuk menyambar serangga yang lalu-lalang. Ia kadang-kadang terbang ke tumbuh-tumbuhan untuk menangkap serangga sebelum kembali ke tenggerannya, tetapi ia tidak akan cuba mendapatkan mangsa di tanah. Kumbang membentuk sebahagian besar daripada dietnya, tetapi ia juga memakan rama-rama, belalang, dan anai-anai. Seekor malas utara pernah ditemui dengan bangkai burung kecil di dalam perutnya juga. Setelah menangkap serangga, malas menelannya sekali gus tanpa memukul atau menghancurkannya.

Pembiakan

Malas besar, Nyctibius grandis

Malas membiak secara monogami dan kedua-dua induk berkongsi tanggungjawab untuk mengeram telur dan membesarkan anak. Keluarganya tidak membina apa-apa jenis sarang, sebaliknya meletakkan telur tunggal di atas lekukan di dahan atau di bahagian atas tunggul kayu reput. Telurnya berwarna putih dengan tompok ungu-perang. Seekor induk, selalunya jantan, mengeram telur pada siang hari, kemudian tugasnya dikongsi berdua pada waktu malam. Pertukaran untuk melegakan induk yang mengeram dan memberi anak makan adalah jarang untuk meminimumkan perhatian kepada sarang, kerana malas bergantung sepenuhnya pada penyamaran untuk melindungi dirinya dan tapak bersarangnya daripada pemangsa. Anaknya menetas kira-kira sebulan selepas bertelur dan fasa menyarang ialah dua bulan, tempoh yang agak lama untuk burung darat. Buluan malas yang menyarang berwarna putih dan apabila ia terlalu besar untuk bersembunyi di bawah induknya, ia menggunakan kedudukan kaku yang sama seperti induknya, menyerupai rumpun kulat.

Pertahanan

Tingkah laku yang diperihalkan menunjukkan bahawa malas biasa menggunakan strategi pertahanan yang berbeza-beza mengikut keadaannya. Untuk malas yang bersendirian, atau dewasa mengeram dengan bakal pemangsa yang hampir dengan sarangnya, ia akan cuba mengelak pengesanan dengan kekal tidak bergerak dan bergantung pada penyamaran. Jika tidak berkesan, malas tersebut akan membongkarkan dirinya dan cuba menakut-nakutkan pemangsa dengan membuka paruh dan matanya dengan luas sambil menyuarakan seruan atau hanya terbang keluar dari jangkauan pemangsa. Pemangsa nokturnal kurang bergantung pada penglihatan untuk mencari mangsa, oleh itu strategi yang berbeza mungkin diperlukan pada waktu malam.[17]